Pengenalan

Bercerita merupakan aktiviti yang menarik dan boleh digunakan dalam mana-mana
pelajaran bagi menghidupkan sesuatu pengajaran. Bercerita dapat meningkatkan
kefahaman kanak-kanak terhadap pelajaran dan boleh merangsang kanak-kanak
melahirkan idea atau pendapat serta menjadikan pembelajaran sebagai suatu pengalaman
yang menyeronokkan. Bercerita juga dapat dijadikan sebagai aktiviti pengukuhan.
Sebelum bercerita, guru perlu menyediakan diri selengkapnya. Misalnya memilih cerita
yang sesuai, menentukan fokus cerita, memikirkan soalan-soalan yang boleh
dikemukakan, perkataan atau frasa yang perlu difokuskan dan mencatat rangka cerita
sebagai panduan. Selain itu, guru perlu berlatih bercerita sebelum bercerita kepada
kanak-kanak untuk menambahkan keyakinan diri atau mencatat butir-butir penting atas
kad-kad kecil sebagai rujukan dan menentukan alat atau bahan yang akan digunakan
semasa bercerita.


Semasa bercerita pula, guru perlu memastikan keadaan kanak-kanak selesa, dapat
memberi tumpuan sepenuhnya terhadap cerita, tidak ada gangguan yang boleh
mengalihkan perhatian mereka dan melibatkan kanak-kanak dengan memberi peluang
menjawab soalan atau melakonkan semula. Suara guru perlu jelas, bahasa yang
digunakan sesuai dengan tahap kanak-kanak dan istilah yang diperkenalkan daripada
yang konkrit kepada abstrak. Gerak badan dan mimik muka yang sesuai boleh digunakan
untuk menarik perhatian kanak-kanak. Bahan-bahan yang sesuai perlu digunakan bagi
membantu penyampaian guru dan membantu kefahaman kanak-kanak terhadap jalan
cerita. Guru perlu peka terhadap reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Sekiranya
sesuai, guru bolehlah memakai pakaian yang khas untuk menambahkan keseronokan
kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pakaian itu hanya sebagai tambahan kepada
guru, sekiranya tiada pun tidak mengapa. Aksi guru sebenarnya yang lebih mustahak.
Nada dan intonasi guru sangat penting. Sekiranya suara guru ‘rata’ dan tidak ‘bertukartukar’
mengikut ceritanya, sesi akan menjadi hambar.


Selepas bercerita, guru perlu menyediakan aktiviti susulan sama ada menjawab soalan,
meminta kanak-kanak bercerita semula, atau simulasi/melakonkan bahagianbahagian
tertentu cerita bagi memastikan kanak-kanak memahami cerita. Selain itu,
nyanyian, melukis, dan kuiz boleh dijadikan sebagai pengukuhan.

No comments:

Post a Comment